Wednesday 12 December 2012

Ibu cuai anak lesap

FAKTOR keselamatan anak tidak hanya tertumpu di rumah kerana apabila mereka berada di tempat awam seperti pusat beli-belah atau pasar malam sekalipun, ia boleh mengundang bahaya sekiranya ibu bapa tidak memberi perhatian sewajarnya.
Kanak-kanak yang sentiasa mempunyai sikap ingin tahu tidak tahu adakalanya perkara yang dilakukan boleh mendatangkan mudarat pada diri sendiri atau orang di persekitaran mereka.

Di sinilah ibu bapa perlu memainkan peranan penting bagi mengawasi serta memastikan anak mereka tidak terbabit dengan kejadian sedemikian.

Justeru, ibu bapa harus sentiasa memastikan anak mereka tidak hilang daripada perhatian mereka ketika berada di tempat awam, terutama di pasar malam, pasar raya dan pusat beli-belah.

Kebanyakan kes kehilangan anak berlaku apabila berada di lokasi yang penuh dengan orang ramai, terutama ketika jualan murah kerana ibu bapa sibuk membeli-belah hingga mengabaikan si anak.

Selain itu, ibu bapa perlu membimbing anak mereka supaya menolak ajakan atau pujukan orang yang tidak dikenali walaupun disogok gula-gula enak.

Pada masa sama, ibu bapa bertanggungjawab untuk memastikan anak mereka tidak berseorangan sama ada di rumah atau di luar rumah.

Ketika berada di rumah pula ibu bapa perlu mengawasi aktiviti jika anak ingin membantu mengendalikan dapur. Memasak memang menyeronokkan bagi mereka tetapi pastikan anak mengenakan pakaian berlengan pendek serta gunakan pelapik untuk mengangkat periuk panas. Awasi mereka ketika anak asyik melakukan kerja di
dapur.

Selain itu, keselamatan di bilik mandi juga penting, justeru jangan biarkan anak berumur di bawah enam tahun mandi berseorangan.

Sebolehnya periksa suhu air terutama bilik mandi yang menyediakan alat pemanas air. Sepatutnya waktu mandi menjadi masa yang menggembirakan oleh itu, cuba pastikan lantai tidak licin dan boleh menyebabkan kanak-kanak terjatuh.

Perlu diingatkan, jangan biarkan air bertakung dalam baldi atau besen bagi mengelakkan kanak-kanak berumur di bawah empat tahun tersungkur di dalamnya.

Apabila ingin bercuti bersama keluarga, memang banyak perkara yang perlu dititikberatkan bagi memastikan perjalanan lancar.

Ikuti beberapa panduan melancong bersama si kecil.


Panduan melancong bersama si kecil

  • Sekiranya menggunakan kapal terbang sebagai pengangkutan utama tempah tempat duduk penerbangan supaya anda dapat duduk bersama dan pesan hidangan anak.
  • Bawa keperluan bayi dengan tangan supaya anda mudah untuk mengambilnya ketika diperlukan.
  • Berikan makanan kepada bayi anda dan gula-gula kepada anak yang lebih besar ketika berlepas dan mendarat untuk mengatasi ketidakselesaan daripada tekanan dalam kabin kapal terbang.
  • Bawa makanan yang biasa untuk bayi anda dan minta ia dipanaskan.
  • Bawa alat permainan, buku atau majalah untuk anak anda dalam bakul kecil dan minta pihak penerbangan pek aktiviti yang mereka sediakan.
  • Bagi ibu bapa yang menggunakan kereta, kereta api atau bas sebagai pilihan pengangkutan percutian, pastikan untuk mulakan perjalanan sebelum waktu tidur anak kerana mereka mungkin lebih senang untuk tidur selepas itu.
  • Pastikan ruang di belakang kereta luas untuk anak bermain dan mereka juga tidak dikelilingi beg yang dibawa.
  • Untuk perjalanan panjang, bawa buku cerita atau lagu kegemaran mereka.
  • Rancang hentian yang kerap supaya anak boleh berjalan serta menghilangkan rasa bosan dan anda juga boleh berehat
  • No comments: