KATA orang, cemburu itu tandanya sayang.
Namun, sedar atau tidak, perasaan cemburu itu ada kalanya boleh menjadi
musuh yang membawa kepada kehancuran sesebuah rumah tangga.
Dari sudut psikologi, cemburu adalah
perasaan sakit hati, marah, tidak percaya, dan kurang yakin seseorang
terhadap pasangan yang dicintai. Selalunya, perasaan ini timbul lantaran
sikap suami atau isteri yang gemar membayangkan pasangannya mempunyai
hubungan istimewa dengan seseorang di luar pengetahuannya.
Pensyarah Jabatan Psikologi Pendidikan
dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya, Prof Suradi
Salim, berkata masalah cemburu di kalangan suami isteri sebenarnya
berkait rapat dengan tindakan seseorang dari sudut dalaman dan luaran.
Penilaian dari kedua-dua sudut itu akan
menentukan sama ada seseorang yang berperasaan cemburu itu mengalami
masalah psikologi atau tidak.
“Jika masalah itu berpunca daripada
aspek dalaman, psikologi seseorang itu mungkin terganggu dan sering kali
menimbulkan perasaan bimbang, resah, gelisah dan syak wasangka terhadap
pasangan. Sebaliknya, jika pasangan mempamerkan tindakan negatif
antaranya mengecam dan memberontak, mereka dikatakan menunjukkan sifat
cemburu itu dari aspek luaran.
“Dari situ kita boleh nilai sama ada
cemburu yang ada itu mendatangkan masalah atau tidak. Faktor yang
menjadi penyumbang kepada masalah ini tidak banyak kaitannya dengan
keegoan suami. Sebaliknya, kurangnya keyakinan, dan kepercayaan kepada
pasangan menyumbang kepada masalah ini. Ini lebih berkaitan dengan
psikologi seorang itu,” katanya.
Beliau berkata, kurang persefahaman dan
interaksi kedua-dua belah pihak membuatkan masalah itu semakin
meruncing. Kesan positif dan negatif boleh timbul daripada sifat cemburu
ini.
Positif jika perasaan berkenaan dapat
menghalang seseorang itu daripada berlaku curang terhadap pasangannya.
Namun, kesan negatif daripada sifat itu tidak boleh dipandang enteng.
Perasaan cemburu yang tidak terkawal
sering kali membawa kepada perlakuan di luar batas kemanusiaan antaranya
bertindak memukul, mendera dan membunuh isteri jika hilang
pertimbangan.
Dalam hubungan ini, Prof Suradi berkata,
apabila seseorang itu sudah berkahwin perlu menanamkan sifat kesetiaan
kepada pasangannya. Keyakinan, perhatian dan kasih sayang yang
dicurahkan serba sedikit mengurangkan perasaan cemburu suami.
Tingkah laku sebagai isteri atau suami dan batas pergaulan dengan bukan mahram perlu dijaga dan diawasi setiap masa.
“Ikatan perkahwinan perlu ada sikap
saling mempercayai antara satu sama lain. Oleh itu, sebelum seseorang
berkahwin, terlebih dulu kita digalakkan mengenali pasangan yang bakal
dikahwini. Ini serba sedikit membantu wanita supaya tidak mengalami
pelbagai masalah selepas berkahwin kelak.
“Jika bakal suami anda menunjukkan sikap
cemburu keterlaluan, elok wanita itu berfikir panjang jika ingin
membina hubungan yang lebih serius kerana bimbang banyak perkara buruk
boleh berlaku selepas mereka berkahwin.
“Suami juga tidak boleh ambil sikap
lepas tangan dan hanya menyalahkan wanita semata-mata. Mereka seharusnya
bertindak menyiasat dulu perkara yang menjadi punca kepada perasaan
cemburu itu.
“Sewajarnya, suami tidak boleh bertindak
melulu tanpa sebarang bukti kerana ini akan memberi kesan buruk dalam
jangka masa panjang terhadap hubungan perkahwinan,” katanya.
Beliau berkata, dari aspek psikologi
psikologi seseorang yang bersikap sebegitu biasanya kurang yakin kepada
diri sendiri dan sering kali berprasangka buruk serta was-was kepada
pasangannya.
Selain itu, seseorang yang mempunyai
pengalaman masa lampau yang buruk akan sentiasa menganggap pasangannya
tidak boleh dipercayai. Faktor keistimewaan yang dimiliki isteri
antaranya berpendidikan tinggi dan mempunyai daya tarikan fizikal
menarik juga menjadi punca kepada masalah ini.
“Dalam Islam, suami perlu ada sifat
cemburu dan sentiasa was-was kepada isteri. Begitu juga isteri. Namun,
ia perlu berada pada keadaan terkawal dan tidak memudaratkan diri
sendiri serta hubungan suami isteri.
“Kedua-dua pihak harus menjaga hubungan dengan sebaiknya untuk mengelak masalah cemburu ini,” katanya.
Panduan elak pasangan cemburu
1. Memberi sepenuh kasih sayang dan perhatian supaya suami tidak syak wasangka.
2. Mewujudkan komunikasi dua hala yang berkesan antara kedua belah pihak.
3. Jika hubungan jarak jauh, sering kali
berhubung menggunakan telefon, sistem pesanan ringkas (sms), atau e-mel
untuk mengeratkan kasih sayang
4. Bercerita apa saja yang berlaku sama ada di tempat kerja atau dengan rakan.
5. Elak melakukan perkara yang membawa kepada cemburu pasangan.
6. Kenalkan rakan pejabat dan kenalan rapat anda kepada pasangan.
Wallahu’alam.
No comments:
Post a Comment