Menjadi pemimpin bukan mudah. Tapi zaman sekarang semua orang kemaruk
untuk jadi pemimpin. Hayatilah kisah ini untuk menilai layakkah kita
untuk meminta-minta jawatan pemimpin.
Dari hal keadilan,
ketakwaan dan kemuliaan budi baginda Umar bin Abdul Aziz, tidaklah perlu
lagi diterangkan panjang lebar. Kisahnya panjang lebar telah dikarang
oleh ulama-ulama.
Sesungguhpun dia telah mencapai kedudukan yang
semulia itu, belumlah dia kenyang dari petunjuk ulama dan pimpinan
seorang yang arif.
Pada suatu hari berkirim suratlah baginda
kepada ulama Tabi’in yang masyhur, Hasan Basri, bertanya kepada beliau
dari hal sifat-sifat Imam (raja) yang adil. Maka telah menjawab Hasan
Basri demikian bunyinya:
“Ketahuilah hai Amirul Mukminin,
bahawasanya Allah Subhanahu Wa Ta’ala telah menjadikan raja yang adil
laksana tongkat tua yang teguh condong yang akan menauri, lemah yang
akan membila. Dia menjadi tujuan dari segala orang yang ragu,
memperbaiki segala yang rosak, menguatkan segala yang lemah, tempat
mengadu bagi tiap-tiap yang teraniaya, tempat kembali dari tiap-tiap
yang sengsara.”
“Imam yang adil ya Amirul Mukminin, ialah laksana
seorang pengembala yang hati rahim kepada binatang pengembalaannya;
dibawanya ke padang yang berumput subur, dijaganya jangan jatuh ke lurah
yang curam, dijaganya dan dipeliharanya jangan ditangkap binatang buas,
dipeliharanya jangan ditimpa dahaga dan kepanasan.”
“Imam yang adil ya Amirul Mukminin, laksana seorang ayah yang cinta akan anak-anaknya,
diasuhnya semasa anak itu kecil, diajarnya setelah anak itu besar,
dituntunnya di dalam mencari penghidupan, dikumpulkannya harta bersusah
payah, untuk anaknya itu jika si ayah mati.”
“Imam yang adil ya Amirul Mukminin, laksana seorang ibu yang pengasih,
dikandungnya anaknya dalam perutnya dengan susah payah, diasuhnya
setelah anak itu lahir. Tidak tidur matanya malam, jika anaknya bangun,
dia termenung jika dilihatnya anaknya duka, disusukannya; puas disusukan
digendungnya. Mukanya berseri-seri jika si anak sihat, mukanya muram
jika si anak sakit.”
“Imam yang adil ya Amirul Mukminin, ialah laksana seorang yang berdiri di antara Allah dengan hamba-Nya,
didengarnya Maha Tuhan dengan tenang, setelah itu diterangkannya
bagaimana wajah-Nya kepada mereka. Dibimbingnya tangan umat supaya
sama-sama ke hadrat Rabbi, memohonkan kurnia-Nya.”
“Oleh sebab
itu ya Amirul Mukminin, janganlah paduka sebagai budak yang dipercayakan
oleh penghulunya kepadanya menyimpan hartanya dan memelihara kaum
kerabatnya, lantas budak itu khianat akan amanat, dimusnahkannya harta
benda itu dan disia-siakannya petaruh.”
“Kemudian itu ingatlah ya Amirul Mukminin akan maut dan apa yang akan kejadian sesudah mati.
Ingatlah bahwa persedian paduka agaknya sedikit, orang yang akan
menolong paduka tidak ada. Bersiaplah untuk menghadapi mati, dan untuk
menghadapi zaman sesudah mati.”
“Ketahuilah pula ya Amirul
Mukminin, bahawa paduka akan tinggal dalam sebuah rumah yang tidak
serupa dengan rumah yang paduka diami sekarang. Lama sekali paduka akan
mengeluh di sana, dan tidaklah seorang juga yang akan menemuinya, hanya
tinggal seorang diri dalam kesunyian."
"Oleh sebab itu
berkemaslah dari sekarang dan bersiaplah. Kerana perkemasan dan
persiapan yang disediakan lebih dahulu, itulah hanya yang akan menolong
di sana kelak, iaitu pada waktu lari padanya manusia daripada saudaranya
dan ibunya daripada ayahnya dan isterinya, daripada anaknya sekalipun.”
“Ingatlah ya Amirul Mukminin, ingatlah dengan hati-hati, akan suatu
masa kelak yang akan dibongkar segala isi kubur, akan dikupas segala
isi dada, segala rahsia pada hari itu akan terbuka. Semuanya tertulis
dalam kitab, baik besar mahupun kecil semuanya dihitung.”
“Maka
sekarang ya Amirul Mukminin, ingatlah dengan saksama, sebelum ajal
sampai janji mendatang, sebelum hukum putus angan berhenti:
Jangan
paduka menghukum atas hamba Allah dengan kebodohan, jangan paduka bawa
mereka ke jalan aniaya, jangan diangkat orang-orang yang takbur menjadi
pegawai, memerintah orang yang lemah. Sebab mereka menjatuhkan perintah
dengan sesuka hati dan semahu-mahunya saja. Kelak padukalah yang akan
menanggungjawab atas dosa mereka, dan yang bertali dengan itu,
dikumpulkan dengan dosa paduka sendiri.
Janganlah paduka
terpedaya oleh tipuan orang-orang yang menelah nikmat kesusahan paduka.
Mereka makan segala yang enak-enak di dunia, supaya paduka menelan
segala kesusahan di akhirat.
Jangan paduka berbesar hati lantaran mempunyai kekuatan pada diri ini, tetapi fikirkanlah
kekuatan untuk dari jiwa yang akan dicabut, pada waktu mana seluruh
badan paduka diikat oleh rantai kematian, atau berdiri di hadapan Allah,
dikelilingi oleh sekalian Malaikat. Nabi-nabi dan Rasul-rasul. Pada waktu mana seluruh wajah makhluk, menghadap kepada Yang Hidup dan Yang Kekal!”
“Adapun
patik sendiri ya Amiru Mukminin, meskipun nasihat patik ini tidak
sebagus nasihat-nasihat orang-orang yang lebih muda daripada patik pada
zaman dahulu, namun patik amat cinta kepada tuanku dan amat ikhlas. Oleh
sebab itu pandanglah isi surat patik ini, laksana ubat yang diberikan
oleh seorang kecintaan kepada kecintaannya yang sakit. Meskipun agaknya
pahit, moga-moga di dalam kepahitan itu ada tersimpan kesihatan dan
afiat.”
Dipetik dari Lembaga Hikmat, karya Hamka
No comments:
Post a Comment