Thursday 31 January 2013

BERDIKARI KE PENTINGKAN DIRI SENDIR???



Pentingkan diri sendiri jangan memakan diri...klise ayat di atas..itu lah tajuk perkongsian saya hari ini.  


Kadang pentingkan diri sendiri ni bagus pada perkara-perkara yang sepatutnya Maksudnya mengabaikan permintaan orang lain yang boleh menjurus kepada kemusnahan diri kita dan kita tetap meneruskan aktiviti kita yang mendatangkan faedah. Kita mungkin pentingkan diri sendiri kerana tidak sama-sama mengajak orang lain untuk melakukan perkara yang menguntungkan ini kerana dikhuatiri akan menimbulkan pergaduhan dan huru-hara. Apa pun jarang sangat orang kata ianya pentingkan diri sendiri dalam hal begini.

Selalu yang berlaku kita dikatakan pentingkan diri sendiri bila melakukan sesuatu tidak kira baik atau buruk yang kita rasa memberi keuntungan kepada diri kita tetapi tidak memperdulikan jika sama ada ianya memberi kesan buruk atau sebaliknya kepada orang lain  Biasanya ia akan menimbulkan rasa marah pada orang lain.

Bagaimana dengan sikap pentingkan diri sendiri yang begini?

KALAU KITA SEORANG GURU - Kita menjadi guru yang mengajar anak murid dalam erti kata sekadar mengajar tanpa memperdulikan sama ada anak murid kita faham atau sebaliknya Kita hanya tahu masuk ke kelas dan mengajar mengikut silibus yang ditetapkan hinggalah habis masanya. Tiada rasa risau jika ramai anak murid yang salah semasa menjawab soalan Kita hanya faham bahawa tugas mengajar kita sudah selesai, selebihnya pandai-pandailah anak murid nak faham atau tidak.

KALAU KITA SEORANG IBU/BAPA -Sebagai ibu dan bapa yang tahu tentang pentingnya ilmu agama tetapi hanya untuk diri sendiri. Mereka sering mengikuti kelas-kelas agama untuk diri sendiri agar lebih pandai dan tahu tentang agama Tetapi mereka abaikan keperluan ilmu agama pada anak-anak mereka dengan harapan anak-anak dah dapat di sekolah. Atau pun dah suruh sekali dua tetapi anak-anak tak mahu maka lantak koranglah.

KALAU KITA SEORANG USAHAWAN - Kita berniaga hanya untuk mencari keuntungan. Tidak kisahlah jika isi bahan niaga kita mengandungi unsur-unsur yang haram terutamanya makanan. Bagi kita tidak mengapa bahan mentah kita ambil dari pembekal yang bukan Islam walau pun yang Islamnya ada. Apa yang penting bagi kita adalah keuntungan komisyen yang lebih tinggi.

Mungkin ada banyak lagi contoh yang kita tak berapa perasan pun ianya juga antara sikap pentingkan diri sendiri. Cuma contoh sebegini sebenarnya akan merosakkan kembali diri kita mungkin belum di dunia tetapi di akhirat nanti. Keuntungan yang kita harapkan akan menjadi kerugian yang besar buat diri kita di kemudian hari.

Melakukan kebaikan adakalanya mudah dan adakalanya sukar, tetapi itulah yang wajib kita lakukan. Bukan semua bersikap begini, ramai lagi yang jujur dan sentiasa memikirkan kepentingan orang lain. Mereka ini biasanya tidak ingin menyerlah tetapi kita dapat merasainya.

Tepuk dada tanya selera...minta pandangan iman, tawakal dan berserah pada Pencipta!

Kita hidup bukan semata-mata untuk diri sendiri


Hidup kita ini bukan sekadar individu atau sorang-sorang saja. Bukan hanya memikirkan kepentingan untuk diri sendiri semata-mata. Perlu juga melihat kesannya pada orang lain atas tindakan kita. Dalam erti kata lain, jangan syok sendiri.

Kita hidup dalam kelompok masyarakat yang terdiri daripada jiran-jiran, rakan-rakan, adik-beradik dan tentunya juga suami, isteri dan anak-anak. Kepentingan mereka juga patut kita ambil kira jika ianya akan terganggu akibat perbuatan kita. Jika terpaksa diganggu, maka perlu juga mendapat ihsan dan rasa tolak ansur dari mereka.

Bak kata siri kartun 'Wonder Pets' ; "Apa yang penting? Kerjasama!".

Berkerjasama, bertolak ansur dan saling menyokong kerja-kerja yang baik itu dapat membina satu kelompok yang harmoni dan bertimbang rasa. Bukan hanya memikirkan kesusahan kita sahaja sedangkan bila kita memerlukan kerjasama di pihak yang lain, tidak sedikit pun kita memikirkan kesusahan yang bakal dialaminya.

Perkara yang mudah jangan pula kita susah-susahkan. Kadang yang susah juga menjadi mudah jika kita tidak terlalu berkira dan berlapang dada. Mudahkan saja jika memang itu yang terpaksa kita lalui atau tiada pilihan lain yang lebih bagus.

Contohnya bila ada jiran yang buat kenduri. Tentu saja akan sesak kawasan hadapan rumah kita dengan kereta yang akan parking sesuka hati oleh tetamunya. Jangan marah, jangan susah-susah! Lepaskan saja rasa yang tidak baik itu dan berlapang dada. Tidak mengapa, letakkan kereta kita jauh-jauh sikit agar mudah nak keluar jika kita memerlukannya. Bukan lama pun nak susah begitu, cuma sehari dua saja. Ini hari dia, nanti bagaimana pula kalau anak kita yang nak buat kenduri kahwin.

Jangan sesak-sesakkan kepala nak marah-marah, bermasam muka, berkerut dahi dek kerana tak puas hati. Adakalanya kita tak mampu mengawal orang lain untuk menurut kehendak kita dengan bersikap menentang. Kadang elok diturut dulu dan kemudian baru memberi pandangan kita.

Umpama anak kecil yang inginkan gula-gula dengan segera, maka sesuai dulu kita ikut rentaknya dengan bertanya "Ooo... adik nak gula-gula?". Tentu saja si kecil akan reda sekejap dari menagis sambil mengangguk.

Tambah lagi "Adik suka gula-gula yang begini?", kemudian pandai-pandailah kita nak putar-putarkan segala nasihat yang perlu untuknya. Kadang menjadi kadang tu tidak jugakan. Tapi itu lebih baik daripada terus menolak kerana sifat penolakan kita yang pertama itu boleh meninggalkan kesan dendam di hati seseorang walau pun anak sendiri.

Jadi kalau kita tak mahu marah-marah, tak mahu pening-pening eloklah kita jangan fikirkan susah kita saja. Ingat-ingatlah kalau kita juga ada buat orang lain susah dan dia rasa macam tu juga. Maka, redha je lah ye! Buanglah sifat pentingkan diri sendiri, saling menyokong dan bekerjasama itu sebaiknya. Nanti kita juga yang untung sebab hati pun tenang jadi kurangkan risiko dapat penyakit-penyakit darah tinggi, jantung akibat stress.

Semoga perkongsiaan ini tidak menyentuh mana-mana hati .

No comments: