Wednesday 16 January 2013

Panas baran @ ‘ kepala angin ‘ @ ‘ naik hantu '

As Salam wahai saudaraku...hari ni perkongsiaan yang saya dapat dari salah seorang ahli keluargaku...bukan niat jahat apalagi tujuan mengaibkan..tapi ini la coretan muhasabah dari diri sanubari sendiri...Pengalaman dan pengajian yang saya lalui dalam kependidikan telah membuka ruang lingkup yang luas tentang psikologi dan susur galur gaya hidup manusia... Setiap  kejadian yang Allah rancang telah tertulis noktah akhirnya...Syukur jika kita diberi peluang untuk menilai dan mengambil ikhtibar...Jika tidak, berdoa la agar generasi kita diberi hidayah dan memilih jalan yang benar dalam keredhaannya..

Risau bila fikir...adakah AKU acuan IBUBAPAku...Tapi sedar hakikat Iman tak boleh diwarisi..aku akur..aku adalah aku!!!

 Bila baca artikel yang ditulis oleh  Mahmood Nazar Mohamed (1960) bertajuk  Satu pengenalan Asas Kepada Jiwa Dan Tingkah Laku Manusia yang merumuskan setiap individu yang wujud di permukaan bumi ini mempunyai sifat, sikap, gaya, dan personaliti tersendiri. Dikalangan individu juga berbeza – beza, maksudnya tidak ada individu yang benar – benar sama dari sifat – sifatnya dan setiap individu adalah unik, tetapi berkongsi sama beberapa sifat tertentu dengan orang lain. Personaliti atau sahsiah melambangkan ciri – ciri keperibadian seseorang individu itu, dan sememangnya mencirikan perbezaan seorang manusia dengan manusia yang lain. Dua konsep yang perlu diberikan penekanan iaitu tipikal dan berbeza. 

Personaliti seseorang adalah mengandungi kesemua ciri psikologi yang secara relatifnya tidak berubah, yang tipikal (yang biasa terdapat) pada orang tersebut. Contohnya mereka mempunyai tipikal yang pemurah, pemalu, impulif dan lain – lain. Penekanan kedua terhadap istilah berbeza. Pola – pola unik tipikal cara bertindak, berfikir, dan merasa setiap orang adalah yang menyebabkannya berbeza daripada orang lain.

Personaliti dan perkataan Inggeris person adalah dua perkataan yang berkait rapat. Pada umumnya, personaliti akan memperihalkan seseorang individu tersebut tetapi secara khusus, personaliti adalah sifat – sifat yang ada pada seseorang individu seperti cara ia berfikir, beraksi, beremosi, berpersepsi dan lain – lain yang membolehkannya dibezakan dengan orang lain. Oleh itu, personaliti akan memperihalkan sifat – sifat fizikal, emosi, dan kognitif seseorang individu. 
Aku berdoa agar aku mampu menjadi idola pada anak2 ku...dan...semoga perkongsian artikel ini mampu membuka minda dan mata pada orang lain juga...amin

 Panas baran @ ‘ kepala angin ‘ @ ‘ naik hantu ‘ yang disebabkan kesukaran menangani perasaan marah menyebabkan seseorang itu hilang malu, sanggup bertindak di luar batasan dan tidak mustahil boleh mencederakan orang lain. Perasaan marah yang tidak terkawal boleh memusnahkan apa saja. Islam sendiri memuji umatnya yang dapat mengawal perasaan marah. Sikap marah adalah antara pintu syaitan datang masuk ke hati manusia.

Nabi Muhammad SAW pernah berpesan tiga langkah mengatasi rasa marah.
Pertama – Mengawal lidah iaitu berdiam diri dan mengubah posisi (misalnya, jika berdiri hendaklah duduk), mengambil wuduk dan beristighfar serta membaca al-Quran.
Adakah sikap panas baran ini berpunca daripada tahap perkembangan didikan daripada ibu- bapa di rumah?
Panas baran wujud disebabkan kegagalan seseorang itu mengawal emosinya ketika emosinya itu terganggu. Biasanya wujud faktor-faktor yang menjadi pencetus atau dipanggil pemicu (trigger) kepada timbulnya perasaan marah ini. Faktor yang menjadi penyebab perasaan marah itu berbeza-beza bagi setiap orang dan ia bergantung kepada faktor sekeliling , pengalaman dan sejarah seseorang itu dibesarkan. Keadaan sekitar dan rasa dikecewakan menyebabkan timbulnya perasaan marah yang mengakibatkan individu itu dikategorikan sebagai panas baran.
Adakah semua orang memiliki sifat panas baran?
Sifat pemarah adalah suatu emosi manusia normal. Namun ia bergantung kepada setiap individu yang menterjemahkan rasa marah masing-masing.
Adakah faktor jantina dan keturunan mempengaruhi?
Ada suatu pandangan yang menganggap faktor genetik iaitu baka keturunan turut mempengaruhi sifat mudah marah dan memberontak. Ada juga pandangan yang mengatakan panas baran dikaitkan dengan faktor perkembangan kanak-kanak dari kecil lagi seperti mudah resah dan marah. Mengenai faktor jantina, itu tidak pasti tetapi mungkin faktor budaya menjadikan lelaki lebih mudah meluahkan rasa marah.
Berikut adalah antara faktor yang menjadi punca timbulnya sikap panas baran itu .
  • Seseorang itu dibesarkan oleh ibu atau bapa yang kuat marah. Kesannya sikap marah ini dipelajari olehnya sejak kecil dan mula diwarisi.
  • Mengikut pengalamannnya, apabila dia marah maka dia memperolehi apa yang dihajatnya atau orang lain akan tunduk dan ikut kata-katanya. Ganjaran sebegini membuatkan minda bawah sedarnya percaya bahawa dengan panas baran maka matlamatnya boleh tercapai. Tanpa disedari ia menjadi satu habit yang sukar untuk di buang.
  • Panas baran adalah satu sikap mazmumah yang ada dalam diri dan merupakan pintu masuk syaitan. Apabila dituruti perasaan baran ini seseorang itu boleh menyesali setiap perkataan dan perbuatan yang dilakukannya ketika dibawah perasaan negatif ini.
  • Disebabkan oleh sifat ego yang terlalu tinggi dan merasakan bahawa dirinya sahaja yang betul berbanding dengan orang lain.
  • Apabila cakapnya tidak didengar atau nasihat tidak diendahkan, sedangkan padanya apa yang disampaikannya itu penting.
  • Apabila dirasakan haknya diambil, dirampas atau dicabul.
  • Apabila seseorang itu merasakan kuasa dan kedudukannya tidak dihormati dan setiap arahan yang diberikan tidak dipatuhi dan dilaksanakan.
  • Faktor usia yang muda juga ada kaitannya dengan panas baran. Usia yang muda juga biasanya bermakna kurang pengalaman hidup iaitu sukar membuat pertimbangan, kurang peka terhadap perasaan orang lain dan mudah ikut hati dan perasaan.
Yang dikatakan panas baran itu adalah apabila seseorang itu mudah rasa marah dan berulang kali pula melakukan perkara tersebut. Kadang kala perkara kecil juga boleh menimbulkan kemarahan pada kadar yang tidak sepatutnya. Tetapi sebaliknya jika marah itu berlaku sesekali dan bertempat, maka itu bukanlah dikatakan panas baran.
Adakah ia berkaitan dengan keturunan atau penyakit jiwa?
Kalau sekadar marah semua orang memilikinya dan pernah melaluinya. Tetapi kalau kadar kemarahan itu kerap dan terlalu mudah hilang kawalan, bermakna ia adalah masalah jiwa yang perlu dirawat. Ada juga berpunca dari kesan penderaan emosi sewaktu kecilnya lalu menjadi trauma. Pengalaman negatif ini tertanam dalam minda bawah sedar dan meletus apabila ada faktor yang seumpama dengan nya berlaku. Malah ada ketikanya sifat marah yang terpendam ini bertukar menjadi amuk.
Tidak dinafikan masyarakat Melayu terutamanya wujudnya saka. Saka adalah merujuk kepada jin yang diwarisi oleh sesuatu keturunan bermula dari nenek moyang kita dahulu hingga kini. Meski pun generasi hari ini tidak percaya akan wujudnya saka, namun realitinya perjanjian telahpun di buat antara nenek moyang mereka dengan mahluk halus ini mengikut perjanjian tertentu. Apabila perjanjian dimungkiri maka anak cuculah yang menjadi mangsa dan pelbagai masalah yang pelik berlaku. Ini boleh juga menjadi penyebab terdorongnya rasa baran yang melampau. Sebab itulah sejarah keluarga perlu dikaji dan kaedah terapi Al-Quran serta rawatan Islam perlu digunakan.
Tanda-tanda seseorang itu panas baran?
Tanda-tanda seseorang itu panas baran ialah apabila dia dengan mudah hilang kawalan sama ada melalui mimik muka, perkataan atau dengan tindakan. Ada ketikanya perkara yang dia hilang kawalan diri merupakan perkara yang kecil dijadikan besar dan kemarahan yang dilontarkan itu melampaui had maka itu tandanya seseorang itu ada sikap panas baran.
Kesan buruk panas baran?
Kemarahan yang tidak dapat dikawal bukan saja menyebabkan individu itu dijauhi orang sekeliling tetapi mereka sendiri terdedah dengan serangan darah tinggi dan migrain.
Langkah terbaik menangani sifat panas baran?
Kita boleh cuba memberikah sudut pandangan positif tanpa sesekali menimbulkan kemarahan. Buat individu panas baran sendiri, bawalah bertenang dan cuba mengawal perasaan marah daripada dalam diri dan tarik nafas dan cuba tenangkan diri perlahan-lahan. Kepada remaja yang mudah memberontak , perlulah belajar untuk menjadi masyarakat yang bertemadun – mengamalkan sikap bertolak ansur dan boleh hidup secara aman dan harmoni mewakili temadun itu sendiri.
Punca Panas baran – Perilaku agresif, Gejala Sosial, Emosi, Masalah kewangan/keluarga, Ego, Tekanan perasaan, Faktor didikan, Bebanan kerja, Faktor persekitaran.
10 Risiko Individu Panas Baran – Dipulaukan masyarakat sekeliling, Jiwa kosong (murung), Hilang pekerjaan/Jawatan, Penceraian, Kemalangan, Pergaduhan, Kesalahan jenayah, Melakukan penderaan, Tekanan perasaan, Penyakit kronik (darah tinggi, migrain).
Bagaimana tangani sikap panas baran?
Berikut ada beberapa tip untuk tangani sikap panas baran.
  • Panas baran datangnya dari api yang meluap-luap dari dalam. Oleh itu ambillah segelas air sejuk lalu minum.
  • Ambil wuduk dan jika berpeluang terus dirikan solat sunat dua rakaat. Ubah posisi atau kedudukan. Kalau kita sedang marah ketika berdiri maka duduklah. Kalau sedang duduk maka berdirilah. Perubahan posisi ini dapat membantu meredakan perasaan. Rasulullah SAW bersabda “Apabila salah seorang di antara kamu marah, dan ketika itu ia dalam kedudukan berdiri, maka hendaklah ia duduk. Kerana hal itu akan menghilangkan marahnya. Dan kalau tidak , maka hendaklah ia berbaring” (Riwayat Muslim)
  • Beristighfar dan berselawat banyak-banyak.
  • Banyakkan membaca buku-buku motivasi .
  • Kenali diri sendiri dan ketahui faktor-faktor yang boleh menjadi pemicu kepada sikap panas baran itu. Cuba untuk berada dalam kawalan setiap kali faktor tersebut wujud.
  • Ingatkan diri sendiri bahawa apa yang dilakukan terhadap orang lain satu hari nanti akan berlaku ke atas diri kita sendiri pula. Ia adalah hukum Karma yang kita tidak dapat lari darinya.
  • Sedar apa yang ada dalam kawalan kita dan apa pula yang tidak. Jika sesuatu itu bukan dalam kawalan kita, maka marah tidak akan mengubah apa-apa. Sebaliknya ia sekadar membawa penat dan meningkatkan rasa stress yang diakhirnya memudaratkan diri sendiri.
  • Jika sikap panas baran itu sukar dikawal maka perlu temui Kunselor atau pakar psikatri sebelum sesuatu yang tidak diingini berlaku.
  • Sentiasa berfikiran positif dan katakan pada diri bahawa setiap yang berlaku itu ada hikmah dan kebaikannya. Fokus kepada hikmah. Misalnya, jika seseorang itu memotong barisan kenderaan dalam kesesakan trafik, kita katakan pada diri “Oh, orang itu mungkin tergesa-gesa mahu ke tandas” , atau, “Oh, mungkin anaknya sakit dan memerlukan dia sampai cepat dan satu hari aku pun mungkin terpaksa lakukan perkara yang sama jika sudah terpaksa”. Dengan cara ini kita telah berjaya alihkan fokus minda dari tertumpu kepada sesuatu yang boleh mencetuskan perasaan baran.
  • Tinggalkan tempat berlakunya kemarahan tersebut dan pergi ke tempat lain. Lagi lama kita berada disitu lagi tertekan rasanya hati. Ketika sudah berada jauh dari situ, tarik nafas dalam-dalam . Otak ketika marah kekurangan oksigen. Oleh itu pejamkan mata lalu tarik nafas perlahan-lahan dalam kiraan 7 dan rasakan udara sejuk masuk melalui hidung . Lepaskan nafas juga melalui hidung dalam kiraan 7. Rasakan udara panas yang melalui rongga hingga dihembus keluar. Katakan pada diri secara positif , “ Kini aku seorang yang sabar dan tenang serta mampu mengawal diri”.
  • Mereka yang panas baran perlu banyak riadah sebab badan yang cergas membantu akal untuk mengawal emosi.
  • Jaga pemakanan, elakkan dari banyak memakan daging merah. Sebaiknya lebihkan memakan sayur dan buah-buahan.
Apakah bentuk bantuan yang boleh masyarakat atau orang sekeliling berikan kepada seorang panasbaran?.
  • Jangan tambah lagi kemarahan seseorang itu hingga boleh membawa kemudaratan kepada dirinya atau orang sekeliling.
  • Faham faktor-faktor yang menjadi pemicu baginya dan cuba untuk tidak memulakannya.
  • Sabar dengan mereka yang panas baran , cuba bercakap dengannya dalam nada yang perlahan lagi lembut.
  • Ajar dia beristighfar dan menarik nafas dalam-dalam.
  • Berikan dia segelas air sejuk.
  • Usah berada disitu, biarkan dia sendiri buat sementera. Mungkin dia perlukan masa dan ruang untuk kembali rasional.
  • Wujudkan kumpulan sokongan yang membolehkan mereka yang mempunyai sikap panas baran ini berkumpul berbincang dan meluahkan isi hati. Ada ketikanya menyedari bahawa masalah ini bukan masalah kita seorang banyak membantu kita untuk menerima hakikat dan berusaha memperbaiki diri.
Kesimpulannya
Allah mencipta manusia ini sebagai sebaik-baik kejadian dan sebagai khalifah di muka bumi. Oleh itu setiap bentuk emosi yang dianugerahkan oleh Allah itu adalah untuk kebaikan manusia itu sendiri. Begitulah juga dengan sikap marah. Jika seseorang itu marah kerana nafsu maka ia akan membawa kepada keburukan sebaliknya jika marahnya itu kerana Allah maka ia akan membawa kepada kebaikan dan kemuliaan. Hidup ini perlu banyak bersabar dan berlapang dada. Hanya dengan kesabaran sahajalah akan wujudnya kejayaan, kebahagiaan dan kemakmuran.

No comments: